Melahirkan dan membesarkan anak-anak adalah salah satu tugas paling sukar di dunia, dan tiada siapa yang benar-benar bersedia untuk memegang tanggungjawab ini. Ini bukan tugas yang kita boleh ‘pakai redah’. Anak adalah amanah dari Tuhan sendiri, tapi segelintir ibu bapa lebih membiarkan naluri dan pengalaman silam menentukan cara didikan mereka. 

Sedangkan nak duduki peperiksaan pun kita akan buat persiapan rapi dengan ilmu yang sepatutnya, kalau pakai tembak dan guna common sense semata-mata, tentu hasilnya pun cukup-cukup makan.

Kalau ditanyakan pada semua ibu bapa, masing-masing mempunyai tips atau cara tersendiri yang mereka percaya paling berkesan dalam mendidik anak-anak. Tapi sebelum kita beli kismis minda berharga ratusan ringgit atau cakap I love you pada anak seratus kali sehari, yang mustahak adalah memastikan niat kita betul, dan hubungan serta interaksi dengan anak terpelihara melalui cara-cara ini.

1. Banyak bersabar dan pandai kawal emosi

Ramai ibu bapa berharap mereka mempunyai kesabaran yang tinggi terutamanya ketika berhadapan dengan tingkah laku anak yang tidak dapat diduga atau dikawal. Semua orang mempunyai tahap kesabaran masing-masing dan situasi yang mencabar kesabaran tidak selalu dapat dielakkan, namun sebagai orang yang lebih dewasa dan matang, ibu bapa perlu cuba mengawal emosi supaya boleh bertindak balas dengan wajar, bukannya meninggikan suara, mengkritik, dan memarahi anak. Layanan dari ibu bapa dapat memastikan semangat anak-anak tidak luntur untuk belajar dan memperbaiki diri. 

2. Biasakan mendengar luahan anak

Sejak kecil, ibu bapa perlu ajar anak untuk kenal emosi dan biasakan mereka untuk menjelaskan apa yang mereka rasa. Mendengar luahan anak dapat membina keyakinan anak, tapi bukan semua ada kemahiran untuk 'mendengar', lebih-lebih lagi apabila anak menyatakan sesuatu yang mencabar pandangan atau kepercayaan kita. Jangan ambil remeh pandangan anak dan bagi mereka peluang memberi justifikasi atas tindakan mereka. Berkomunikasi dengan anak-anak dalam bahasa yang matang juga dapat mengembangkan perbendaharaan kata sekaligus membuat mereka lebih senang faham keadaan sekeliling dan diri sendiri.

3. Beri anak ruang untuk belajar dari kesilapan.

Tetapkan batasan, tapi jangan pula terlalu mengongkong keinginan semula jadi anak untuk meneroka. Ajar mereka bahawa setiap tindakan ada akibatnya. Apabila anak-anak diberi peluang untuk meneroka persekitaran dan hubungan mereka dengan orang sekeliling, mereka dapat mengembangkan kemahiran sosial dan emosi dengan berusaha untuk memperbaiki kesilapan. Benarkan mereka belajar melalui trial and error dan cuba elak membetulkan setiap kesilapan mereka, sebaliknya bimbing anak-anak untuk cari jawapan sendiri. Apabila tindakan atau pilihan yang mereka buat berakhir dengan kekecewaan, barulah daya tahan mereka akan berkembang. 

4. Lebih kerap gunakan bahasa positif

Kita selalu dengar ibu bapa sebut ayat seperti, “pergi solat, kalau tak masuk neraka”, berbanding “jom solat supaya kita sama-sama boleh masuk syurga”. Bahasa negatif bertujuan untuk menakutkan kanak-kanak dengan akibat tidak melakukan sesuatu perkara itu, sementara bahasa positif mengajar kanak-kanak mengapa mereka perlu melakukan perkara tertentu. Strategi komunikasi ini mengelak dari menimbulkan tekanan dan rasa takut dalam diri anak, seterusnya menghilangkan keseronokan dari sesuatu aktiviti itu. Kita nak anak kita seronok untuk solat sebab dapat masuk syurga, atau ‘terpaksa’ solat sebab takut masuk neraka? 

5. Beri perhatian pada minat anak

Apabila sesi pembelajaran melibatkan topik yang anak minat, proses pembelajaran akan jadi lebih seronok. Senang saja nak bantu anak-anak jadi lebih bersemangat ketika belajar, libatkan topik dan subjek yang mereka minat dalam sesi pembelajaran. Contohnya jika anak suka dinosaur, ajak dia cari dan baca buku yang menarik tentang dinosaur. Kemudian cabar dia untuk lukis lima dinosaur kegemarannya dan terangkan mengapa dia memilih setiap satu. Dengan mengenal pasti minat anak juga, ibu bapa dapat mengubah keadaan sekeliling menjadi peluang menimba pengetahuan. Jika anak suka main air, ibu bapa boleh tarik perhatian mereka ketika mandi atau cuaca hujan dan ceritakan tentang molekul air atau kandungan air dalam badan manusia.

6. Hidupkan suasana dan semangat membaca

Bahasa adalah alat yang paling berkuasa yang manusia ada, dan membaca adalah cara paling berkesan untuk menguasai alat ini. Tabiat membaca, jika diterapkan dari awal sangat membantu dalam perkembangan otak. Menjadikan membaca sebagai hobi boleh mempengaruhi cara kanak-kanak melihat dan berfikir tentang dunia, perkembangan bahasa dan pemprosesan maklumat mereka. Galakkan anak mengisi masa lapang dengan apa sahaja bentuk bahan bacaan untuk memberikan mereka pemahaman yang mendalam tentang dunia, dan melengkapkan minda mereka dengan pengetahuan asas. Pengetahuan asas ini berguna untuk mereka memahami perkara yang mereka lihat, dengar dan rasa setiap hari.Ilmu dan kemahiran keibubapaan penting kerana ia menentukan siapa anak-anak kita setelah mereka dewasa. Siapa yang tak ingin melihat anak mereka membesar menjadi individu yang berguna kan? Itulah satu-satunya ganjaran paling memuaskan setelah bertahun merasa penat lelah memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik. Apa yang penting untuk ibu bapa ingat, tiada tips yang akan dapat membantu kita mendidik anak-anak dengan berkesan, jika kita sendiri kekurangan ilmu.