Bila nampak anak teruna keluar rumah dengan pelikat di siang hari, mesti ada beberapa tanggapan awal yang muncul di fikiran.

"Baru bangun tidur lah tu."

"Nak pergi berkhatan ke?"

"Rajinnya keluar solat kat masjid."

Di Malaysia, amalan memakai kain sarung seperti pelikat bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk orang lelaki. Kain sarung telah bertapak di negara kita sejak zaman kerajaan Kesultanan Melaka lagi, tapi sekarang semakin kurang menjadi pakaian pilihan generasi moden. Pakai pelikat pun pada situasi-situasi tertentu je. Kalau tengok orang zaman dahulu, kain pelikat ni antara salah satu pakaian formal. 

Kain pelikat dikatakan berasal dari sebuah tempat bernama Pulicat di India, namun budaya memakai pelikat berasal dari industri tekstil Yaman yang lebih maju dan merupakan industri tekstil terawal tamadun Islam. Kain sarung yang dihasilkan daripada 100% kapas dan ditenun secara manual oleh manusia di Pulicat dibawa masuk ke rantau Asia Tenggara melalui perdagangan.

Kepelbagaian kain sarung untuk lelaki di seluruh dunia 

Walaupun lebih dikenali di negara-negara Timur, tradisi memakai kain sarung oleh kaum lelaki sebenarnya bukan terhad atau eksklusif kepada masyarakat Asia Tenggara sahaja. Kain yang terkenal dengan corak berpetak atau berjalur, dikenali dengan pelbagai nama di serata dunia.

Indonesia, Polynesia Perancis, Hawaii

Di Indonesia, kain pelikat dipanggil sarung dan diperbuat daripada pelbagai bahan termasuk kapas, sutera, dan viscose. Di Polynesia Perancis dan Hawaii, kain sarung mereka dikenali sebagai pareo dan turut dipakai kaum lelaki, biasanya diperbuat daripada kapas ringan atau sutera dengan corak tropika yang berwarna-warni.


Samoa, Tonga, Fiji, Afrika Timur

Di Samoa, kain sarung mereka dikenali sebagai lavalava, manakala sarung tradisional lelaki dan perempuan di Tonga pula dipanggil ta'ovala dan diperbuat daripada tikar tenunan. Kaum lelaki di Fiji juga memakai kain sarung berwarna atau bercorak yang dipanggil sulu. Di Afrika Timur, kain sarung untuk lelaki dipanggil kanga dan selalunya digunakan sebagai pakaian serba guna, sama seperti pelikat. Berbeza dengan Afrika Selatan yang mana pelikat mereka dipanggil kikoi, manakala di Madagascar orang lelaki memakai kain lamba.

India, Sri Lanka, Bangladesh

Sementara itu di India, kain sarung yang dipakai lelaki India bernama lungi, biasanya diperbuat daripada kapas atau sutera. Di Asia Selatan, terutamanya Sri Lanka dan Bangladesh, pelikat mereka dipanggil mundu.

Thailand, Laos, Kemboja, Burma

Jika orang lelaki Melayu memakai Pelikat, orang lelaki Thailand pula disebut pa kao mah atau pakama di Laos, manakala di Kemboja, ia diipanggil sampot dan hanya dipakai di majlis-majlis khas. Di Burma, orang lelaki memakai kain paso, biasanya dipadankan dengan blaus atau baju.

Filipina, Malong, Brazil, Yaman, Scotland

Kain sarung orang lelaki Filipina dikenali sebagai malong dan fungsinya juga seperti pelikat. Di Brazil, versi pelikat mereka disebut canga dan sering dipakai sebagai kain, gaun atau tuala pantai. Di Yaman pula, orang lelaki memakai futah, dan seperti yang ramai tahu, kilt adalah kain sarung tradisional lelaki di Scotland yang biasanya bercorak cek tartan dan digayakan lebih pendek dari kain pelikat.