Sujud bukan sahaja tanda pengabdian yang hanya orang Islam lakukan dalam solat. Dalam agama dan budaya lain juga, perbuatan sujud ada diamalkan, contohnya seperti dogeza dalam budaya Jepun atau kowtow dalam budaya Cina.
Dalam Islam, perbuatan sujud membawa makna yang bersifat kerohanian. Sujud difahami sebagai penghormatan dan penyerahan diri seorang hamba kepada Allah dengan cara berlutut dan mencecahkan dahi ke lantai. Berdasarkan hadis sahih, syarat sah sujud adalah menyentuh tempat sujud dengan dahi yang terdedah serta melakukan sujud dengan enam anggota badan yang lain iaitu dua telapak tangan, dua lutut dan dua hujung jari kaki. Sabda Nabi SAW, “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.”
Pensyariatan sujud juga ada di dalam al-Quran, seperti firman Allah SWT dalam surah al-Haj ayat 77, “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang).”
Terdapat beberapa jenis sujud yang disyariatkan iaitu;
1. Sujud dalam solat fardu
Sujud ketika solat merupakan rukun. Tidak sah solat tanpa sujud wajib ini. Jumlah sujud ketika solat adalah sebanyak 34 kali sehari semalam. Bacaan ketika sujud bermaksud, "Maha Suci Tuhanku-ku Yang Maha Tinggi dengan segala puji-pujian." Tambahan pula pada sujud terakhir dalam solat, kita disunatkan untuk berdoa sebagaimana sabda Rasulullah SAW, "Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud)."
2. Sujud sahwi
Sahwi bermaksud terlupa sesuatu secara tidak sengaja. Sujud sahwi pula ialah kecacatan atau kekurangan sesuatu dalam solat secara tidak sengaja. Sujud ini dilakukan selepas duduk tahiyat akhir sebelum salam sebanyak dua kali. Bacaan sujud sahwi ialah سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو yang bermaksud, "Maha suci Allah yang tidak tidur dan tidak lalai."
Ada 4 sebab kita disyariatkan untuk melakukan sujud sahwi.
- Meninggalkan sunat ab’ad seperti tasyahud awal dan qunut.
- Ragu-ragu jumlah rakaat solat
- Menambah atau mengurangkan bilangan rukun tanpa sengaja
- Membaca bacaan solat bukan pada perbuatannya seperti membaca al-Fatihah ketika sujud.
3. Sujud sajadah (tilawah)
Sujud ini dilakukan apabila mendengar atau membaca ayat-ayat sajadah dalam al-Quran sama ada dalam solat atau luar solat. Hukum sujud ini ialah sunat mu’akkad. Berikut adalah 14 ayat sajadah yang ada di dalam al-Quran.
- Surah al-A’raf ayat 206
- Surah Ar-Ra’d ayat 15
- Surah an-Nahl ayat 50
- Surah al-Isra’ ayat 109
- Surah maryam ayat 58
- Surah al-Hajj ayat 18
- Surah al-Hajj ayat 77
- Surah al-Furqan ayat 60
- Surah an-Naml ayat 26
- Surah as-Sajdah ayat 15
- Surah Fussilat ayat 38
- Surah an-Najm ayat 62
- Surah al-Insyiqaq ayat 21
- Surah al-’Alaq ayat 19
Bacaan sujud sajdah ialah;
اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ. سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ، تَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
Maksudnya: Ya Allah, Kepada-Mu aku bersujud, dengan-Mu aku beriman, dan kerana-Mu aku berserah. Wajahku sujud kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya serta mengurniakan pendengaran dan penglihatannya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta.
5. Sujud syukur
Sujud syukur dilakukan di luar solat sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT atas segala nikmat atau berita gembira. Daripada Abu Bakrah RA, “Adalah Nabi S.A.W ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah S.W.T”.
Sujud syukur boleh dilakukan dalam dua keadaan iaitu ketika mendapat anugerah atau nikmat dan apabila terselamat daripada bencana. Sujud syukur juga boleh dilakukan tanpa wuduk dan menghadap kiblat.
Nilai sujud begitu tingga di dalam Islam kerana ia adalah salah satu waktu kita paling hampir dengan Sang Pencipta. Gunakan nikmat kesihatan, kekuatan anggota dan keselesaan alas sujud yang ada untuk memperbanyakkan sujud kepada Allah selagi berupaya.