Islam ialah cara hidup yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan, termasuklah dalam bab berpakaian. Islam juga telah mengaturkan garis panduan seperti menutup aurat, berpakaian longgar, tidak jarang, tidak menyerupai jantina lain, dan tidak berlebihan (tabarruj). Walaupun berpakaian adalah satu rutin harian yang tidak memerlukan proses mental yang rumit, sebagai seorang muslim, kita boleh mencontohi Rasulullah SAW dalam berpakaian. Berikut adalah beberapa panduan berpakaian yang boleh diamalkan:
Kebersihan dan Kekemasan
Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan kebersihan dan kekemasan. Rasulullah SAW sangat mementingkan kebersihan dan kekemasan dalam berpakaian untuk menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang indah dan bersih. Allah SWT telah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar membersihkan pakaian dalam Surah al-Muddathir ayat 1-4:
Wahai orang yang berselimut. Bangun dan berilah peringatan kepada manusia. Maka besarkanlah Tuhanmu. Dan pakaianmu hendaklah kamu bersihkan.
Mendahulukan Sebelah Kanan
Memulakan dengan bahagian badan sebelah kanan merupakan sunnah yang dianjurkan, sepertimana hadis daripada Aisyah RA:
“Rasulullah SAW menyukai mendahulukan yang kanan ketika menggunakan sandal, menyikat, bersuci dan dalam semua urusannya.” (Hadis Riwayat Bukhari no168).
Membaca Doa Sebelum Berpakaian
Membaca doa sebelum melakukan semua perkara sangat dianjurkan dalam Islam, termasuk sebelum memakai pakaian sebagai tanda kesyukuran. Rasulullah SAW mengajarkan doa berikut:
اللّٰهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهِ وَ خَيْرِ مَا هُوَ لَهُ، وَ أَعُوْذُبِكَ مِنْ شَرِّهِ وَ شَرِّ مَا هُوَ لَهُ
Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan pakaian ini dan kebaikan sesuatu yang di dalamnya, dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukan pakaian ini dan keburukan sesuatu yang ada di dalamnya.
Menanggalkan Pakaian dengan Sebelah Kiri
Menanggalkan pakaian juga ada adabnya. Hadis daripada Abu Hurairah RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seseorang daripada kamu ingin memakai selipar maka mulakanlah dengan kaki kanan. Manakala, apabila kamu ingin membuangnya maka mulakanlah dengan kaki kiri atau pakailah keduanya serentak atau membuangnya secara serentak”. (Riwayat Muslim 2097).
Dengan mencontohi sunnah Rasulullah SAW, kita bukan sahaja mematuhi perintah syarak tetapi juga menambah keberkatan dalam kehidupan seharian kita. Mari kita amalkan adab-adab ini dan menjadi contoh yang baik kepada orang lain.
Mengamalkan adab berpakaian menurut sunah Rasulullah SAW boleh membawa kebaikan dan keberkatan dalam kehidupan seharian. Dengan menjaga kebersihan, memulakan dengan anggota sebelah kanan, membaca doa, dan menanggalkan pakaian dengan adab yang betul, kita dapat menonjolkan keindahan dan kesempurnaan Islam dalam setiap aspek kehidupan.