Buah apa yang hari-hari biasa jarang kita makan, tapi bila tiba bulan puasa… hmm mesti dah boleh teka kan? Tak perlu habis dengar soalan, semua dah tahu jawapannya adalah buah kurma.
Dengan sejarahnya yang panjang, kurma telah dinikmati sejak 6,000 tahun lalu. Asalnya dari Timur Tengah dan kini boleh didapati dengan mudah seluruh dunia termasuklah Asia dan negara barat. Kurma adalah buah daripada pelbagai pokok palma yang mesti didebungakan dengan tangan dan dipantau dengan teliti untuk mendapat buah yang sihat. Antara nutrisi yang boleh didapati dalam buah kurma termasuklah vitamin A, B, zat besi, magnesium, fosforus, serat dan kalium.
Salah satu sebab Ramadan itu manis adalah kerana kita bersahur dan berbuka dengan buah tradisi yang telah dinikmati sejak zaman nabi-nabi lagi. Kurma pun ada banyak jenis, tapi mana yang paling sedap?
1. Kurma Medjool
Dikenali sebagai raja kurma, kurma Medjool lebih manis dari kurma lain dan saiznya pun lebih besar. Berasal dari Maghribi, teksturnya lembut dan melekit dengan kandungan gula dan serat yang tinggi, bagus untuk pencernaan yang sihat dan untuk digunakan dalam resipi pencuci mulut.
2. Kurma Ajwa
Kata orang, Ajwa adalah kurma kegemaran Nabi. Saiz dia yang kecil pun menjadikan kurma ni sering menjadi pilihan ramai untuk dijadikan kudap-kudap. Rasanya yang unik boleh dikatakan seakan gabungan coklat, amber, dan karamel. Kurma Ajwa juga kaya dengan kalium dan serat.
3. Kurma Deglet Noor
Kalau Medjool raja, Deglet Noor pula ratunya. Nama yang diberi bermaksud ‘kurma cahaya’ kerana isi buah yang kelihatan seperti emas atau cahaya matahari apabila terkena cahaya. Tekstur Deglet Noor tidak begitu lembik menjadikannya sesuai untuk digunakan dalam masakan dan selalu juga digunakan untuk biskut atau hidangan tradisional.
4. Kurma Madu
Nama pun kurma madu, rasanya tentulah macam madu juga. Datang dengan pelbagai warna dengan teksturnya seperti mentega, kurma madu berisi lembut dan kenyal serta sering digunakan sebagai bahan pemanis dalam sup dan minuman kesihatan tradisional Cina.
5. Kurma Maryami
Dikenali sebagai kurma coklat, Kurma Maryami atau Piarom, kurma dari Iran ini panjang, berwarna coklat gelap dengan kulit nipis dan rasa seakan coklat. Walaupun mahal, kurma ni adalah salah satu alternatif terbaik untuk mereka yang mempunyai diabetes kerana kandungan kalorinya yang rendah.
6. Kurma Mazafati
Kurma Mazafati atau kurma Bam di Malaysia yang juga berasal dari Iran, berwarna coklat kehitaman dengan saiz sederhana dan berisi tebal. Kurma Mazafati mempunyai rasa seperti karamel dan biasanya digunakan dalam pengeluaran produk manisan termasuklah pes kurma, sirap, dan coklat.
7. Kurma Barhi
Kurma Barhi agak unik kerana ia salah satu kurma yang boleh dinikmati pada dua peringkat kematangan. Kurma Barhi muda berwarna kuning dan lebih segar dengan isi yang rangup. Oleh kerana kandungan lembapan yang tinggi, kurma muda mempunyai jangka hayat yang lebih pendek dan perlu dinikmati sebaik dipetik daripada pokok.
8. Kurma Rabbi
Kurma Rabbi berbentuk panjang dengan warna kemerahan membuatkannya senang dibezakan dari jenis kurma lain. Kurma Rabbi tahan lebih lama kerana kandungan airnya yang rendah dan kaya dengan serat, membantu pencernaan dan boleh membantu mereka yang mengalami anemia.
9. Kurma Sayer
Ditanam hanya di kawasan Shadegan di Iran, kurma Sayer adalah salah satu jenis kurma termanis dengan kandungan gula kira-kira 75%. Berwarna coklat muda dengan rasa karamel, kurma Sayer digunakan syarikat penghasilan jus dan sirap dan yang merupakan salah satu jenis kurma terbaik kerana kandungan nutrisinya, terutamanya untuk kanak-kanak.
10. Kurma Sawafi
Ditanam di Madinah, Arab Saudi, kurma Sawafi berwarna hitam gelap dengan bentuk dan saiz seperti kurma Medjool tapi rasanya lebih serupa dengan kurma Ajwa. Kurma Safawi ada banyak faedah kesihatan, termasuk membantu pencernaan, meredakan sembelit, dan baik untuk jantung, selain sesuai dinikmati bapa-bapa kita yang ada diabetis kerana kandungan gulanya yang lebih rendah.
Dalam banyak-banyak kurma, yang mana satu kegemaran Family SK? Jangan cakap Yusuf Taiyoob pula, itu jenama kurma, bukan jenis kurma, ya? Kalau diikutkan, di Malaysia ni, Ajwa lah yang menjadi pujaan hati, kan? Kebetulan pula, Siti Khadijah juga ada keluarkan kurma Ajwa sempena Ramadan ni. Bolehlah dapatkan bila datang ke butik SK untuk beli belah nanti, ya? Dapatkan secara online pun boleh.