Kelebihan Membaca dan Mendalami Al-Quran

Al-Quran adalah mukjizat agung yang tiada bandingan diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Al-Quran bukan sekadar perintah Allah yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW, tetapi juga merupakan sumber ilmu dan panduan hidup yang utama bagi umat Islam. Sebagai orang yang beriman, al-Quran penting untuk dipelajari dan difahami.

Dalam bulan Al-Quran diturunkan ini, Ramadan adalah waktu paling digalakkan untuk umat Islam melazimi kitab suci ini dengan menghayati dan beramal dengan isi kandungannya.

Mungkin ada di kalangan kita yang tidak begitu pandai mengaji. Mungkin ada yang pandai membaca al-Quran tetapi langsung tidak faham maknanya. Mungkin juga ada yang boleh membaca dan faham maknanya tetapi masih tidak mengaplikasikan ilmu yang dipelajari daripada kalam Allah itu dalam kehidupan seharian.

Semua masalah ini ada jalan penyelesaian yang mudah, hanya jika seseorang itu bersungguh-sungguh ingin mendalami ilmu Al-Quran.

Firman Alah SWT dalam surah al-Qamar ayat 17 bermaksud, “Dan demi sesungguhnya! Kami telah memudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?”

Sambutan Nuzul Quran setiap tahun pada bulan Ramadan juga memberi peringatan dan peluang kepada kita untuk sedar betapa pentingnya untuk kita beramal dengan Al-Quran.

Kenapa membaca Al-Quran dengan pemahaman itu penting?

Setiap kali kita membaca buku, pasti kita ingin memahami mesej dan nilai moral yang cuba disampaikan di dalam buku itu supaya kita dapat mengumpul ilmu dan mengaplikasikan apa yang dipelajari di dalam kehidupan seharian.

Begitu juga dengan Al-Quran. Orang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mempelajari dan memahami Al-Quran bagi menerapkan perintah Allah dalam kehidupan seharian adalah orang yang betul-betul beruntung. Sebabnya, ayat pertama Al-Quran yang diturunkan adalah ‘اقرا’ yang bermaksud ‘Bacalah’, menunjukkan kepentingan menuntut ilmu dengan membaca.

Memahami al-Quran juga adalah penting kerana banyak sebab lain, termasuklah:

Sumber bimbingan dan kebijaksanaan : Al-Quran memberi bimbingan dan meningkatkan kebijaksanaan seseorang dengan menggariskan prinsip hidup sebagai seorang Muslim. Al-Quran mengandungi segala pengetahuan tentang kekuasaan Allah seperti penciptaan alam semesta, penciptaan manusia, hari kebangkitan, dan sebagainya. Ia menerangkan tentang perkara yang baik dan buruk bagi membantu umat islam mengharungi cabaran hidup dan membuat keputusan yang betul menggunakan akal fikiran yang diberikan.

Untuk pembangunan rohani : Al-Quran mengandungi pengajaran yang boleh membantu perkembangan akhlak individu Muslim, mendorong kita untuk mengagumi sifat Tuhan, merenung tujuan hidup, dan menghayati nilai kerohanian kita sendiri.

Sumber bimbingan dan kebijaksanaan : Al-Quran memberi bimbingan dan meningkatkan kebijaksanaan seseorang dengan menggariskan prinsip hidup sebagai seorang Muslim. Al-Quran mengandungi segala pengetahuan tentang kekuasaan Allah seperti penciptaan alam semesta, penciptaan manusia, hari kebangkitan, dan sebagainya. Ia menerangkan tentang perkara yang baik dan buruk bagi membantu umat islam mengharungi cabaran hidup dan membuat keputusan yang betul menggunakan akal fikiran yang diberikan.

Untuk pembangunan rohani : Al-Quran mengandungi pengajaran yang boleh membantu perkembangan akhlak individu Muslim, mendorong kita untuk mengagumi sifat Tuhan, merenung tujuan hidup, dan menghayati nilai kerohanian kita sendiri.

Untuk mendapatkan khusyuk dalam solat:

Walaupun kita mendirikan solat lima waktu setiap hari, ada kemungkinan solat kita tidak begitu sempurna kerana terganggu dengan banyak fikiran tentang hal-hal dunia yang bermain di fikirannya. Situasi ini boleh dielakkan bila kita memahami ayat-ayat al-Quran yang kita baca dalam untuk meningkatkan tumpuan sekaligus rasa diri lebih dekat dengan Allah SWT.

Untuk dakwah yang lebih berkesan : Pengetahuan tentang al-Quran dapat menarik orang lain ke arah Islam dengan syarat orang yang berdakwah itu hendaklah mempunyai kefahaman dan tafsiran yang betul dan jelas tentang Islam melalui Al-Quran dan Hadith. Kita boleh memberikan bimbingan, teladan, dan keindahan ajaran-ajaran mulia di dalam Al-Quran kepada orang bukan Islam dengan hujah-hujah yang bernas hanya jika kita memahami apa yang diajarkan di dalam Al-Quran.

Oleh itu, peluang dan ruang masa yang kita ada pada hari ini patut dimanfaatkan dengan pengajian kitab suci Al-Quran sama ada dalam bahasa Arab mahupun melalui tafsiran ke dalam bahasa Melayu kerana ia adalah perlembagaan yang lengkap dan sumber kebaikan dan ilmu untuk  hati yang beriman. Al-Quran juga adalah alat terbaik untuk umat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca dan memahaminya.

Seperti dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud R.A yang diriwayatkan al-hakim, Nabi SAW bersabda,

 

“Al-Quran ini adalah hidangan Allah. Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutinya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang. Bacalah kerana Allah, kerana ia akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf sepuluh ganjaran. Saya tidak katakan Alam Laam Miim sebagai satu huruf tetapi alif (1 huruf) dan Laam (1 huruf) dan Miim (1 huruf).”