Israk
Peristiwa Israk & Mikraj ialah mukjizat nabi Muhammad SAW yang membuktikan kekuasaan Allah SWT dan berlaku pada 27 Rejab setahun sebelum penghijrahan nabi Muhammad SAW dari kota Mekah al-Mukarramah ke kota Madinah al- Munawwarah. Sebuah peristiwa yang sarat dengan hikmah.
Peristiwa Israk & Mikraj merupakan hadiah daripada Allah SWT kepada nabi Muhammad SAW atas kesedihan yang dirasai akibat pemergian isteri tercinta iaitu Khadijah binti Khuwailid dan pemergian bapa saudaranya iaitu Abu Talib.
Allah SWT berfirman, mafhumnya:
Mahasuci (Allah), yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.
(Surah al- Isra’ ayat 1)
Berdasarkan dalil tersebut, Israk adalah perjalanan nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.