Boleh ke menunaikan solat tanpa memakai telekung?

Apabila timbul persoalan mengenai solat, perkara asas yang perlu kita tahu ialah syarat sah solat yang akan menentukan sama ada solat itu sah atau terbatal.

Syarat sah solat

Salah satu syarat sah solat adalah menutup aurat. Imam Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya berjudul al- Majmu’  menyatakan bahawa menutup aurat adalah wajib bagi wanita ketika menunaikan solat. Para ulama’ Mazhab Syafi’e menyebut had aurat wanita adalah keseluruhan tubuh badan kecuali  muka dan telapak tangan. Pendapat ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِيْنَ زِيْنَتَهُنَّ اِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلٰى جُيُوْبِهِنَّۖ

Maksudnya: dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) terlihat, dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya…

(Surah an-Nur ayat 31)

Saidatina ‘Aisyah r.anha menceritakan bagaimana para wanita pada zaman Nabi SAW berpakaian ketika mahu pergi menunaikan solat.

لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى الْفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِى مُرُوطِهِنَّ ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersolat Subuh, beberapa orang wanita yang berpakaian menutup seluruh tubuh juga bersolat bersama-sama Baginda. Selepas itu, mereka balik ke rumah masing-masing tanpa dikenali oleh sesiapa pun.” 

Hadis Riwayat al-Bukhari (365).

Berdasarkan dalil tersebut, apabila seorang wanita sedang solat sama ada seorang diri, bersama ahli keluarga ataupun dengan anak-anak sendiri, mereka wajib menutup aurat. Kewajiban menutup aurat bagi wanita bertujuan memelihara kehormatan, seterusnya mengangkat taraf dan kedudukan mereka.

Keperluan telekung

Pemakaian telekung ketika solat telah menjadi kebiasaan bagi majoriti muslimah di negara-negara Asia Tenggara. Konsep telekung bertujuan menepati syarat penutupan aurat secara syarie. Walau bagaimanapun, jika pakaian yang kita pakai telah mematuhi syarat penutupan aurat, maka pakaian sedia ada itu boleh dibawa solat tanpa perlu menyarung telekung.

Solat dengan pakaian sedia ada

Dalam zaman serba moden sekarang, ramai gadis muda dan wanita bekerjaya yang cenderung untuk solat menggunakan pakaian harian kerana tidak mahu membawa beg besar apabila keluar rumah.

Ada beberapa aspek pemakaian yang perlu dititikberatkan untuk memastikan pakaian yang dipakai sesuai dibawa solat.

Pakaian longgar

Syarat paling utama ialah longgar. Pakaian tidak boleh melekap pada badan kerana ia akan menampakkan bentuk tubuh badan. Sekiranya melekap, ia tidak memenuhi kriteria menutup aurat yang sempurna.

Pakaian tidak jarang

Pakaian yang dipakai mestilah tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit secara jelas. Faktor pencahayaan perlu diambil kira untuk menentukan pakaian yang sesuai disarung pada tubuh. Oleh sebab itu, pemilihan material atau fabrik yang sesuai menjadi elemen penting ketika mahu membeli pakaian.

Lengan baju tidak terselak

Ada rukun solat yang memerlukan kita mengangkat tangan seperti takbiratul ihram. Pergerakan rukun tersebut berpotensi menyebabkan lengan baju terselak sehingga menampakkan pergelangan tangan yang merupakan aurat bagi wanita. Maka, kita perlu pastikan hujung lengan mempunyai cekak. Sekiranya tiada, pilihan lain ialah memakai handsock agar hujung lengan sentiasa tertutup.

Tudung menutup dada

Bukan sahaja pakaian, malah tudung perlu menutup dada di bahagian depan. Di bahagian belakang pula seeloknya dipinkan pada hujung tudung supaya tidak terselak sehingga menampakkan leher ketika rukuk dan sujud.

Menutup dagu

Tidak cukup dengan tudung yang menutup dada, bahagian dagu juga perlu diambil kira. Sesetengah tudung direka dengan pelapik dagu.  Rekaan tersebut sangat bagus kerana memudahkan para wanita menyempurnakan syarat solat tanpa memakai telekung.

Stokin yang tebal

Pemilihan stokin tidak boleh diambil mudah. Bukan semata-mata memakai stokin, tetapi perlu memastikan stokin tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit kaki. Material stokin perlu tebal bagi melengkapkan syarat menutup aurat.

Kain atau seluar yang labuh

Sekiranya tidak memakai jubah, pastikan kain atau seluar labuh sehingga menutup buku lali agar tidak menampakkan bentuk betis jika terlalu singkat. 

Inilah aspek-aspek yang SK ambil kira  dalam menghasilkan koleksi-koleksi pakaian wanita yang mesra solat. Antara koleksi yang melengkapi semua ciri–ciri ini adalah Haura Jubah, Aminah Kurung Pesak, Camelia Top & Bottom, Instant warda dan Sheer Sock.