Tragedi banjir bukan lagi satu berita mengejutkan di negara kita, tapi sebaik Land Cruiser SK melepasi pintu masuk ke chalet Salak Denai, luluh rasa hati tengok apa yang tinggal. Asalnya rumah-rumah penginapan lengkap dengan kolam renang kecil individu bersebelahan sungai yang buatkan pengunjung jatuh cinta dengan suasana tenang kampung. Kini yang ada cuma sisa-sisa bangunan, bongkah-bongkah batu besar, pokok-pokok tumbang dan lumpur pekat kesan laluan air. Dalam sekelip mata, semuanya hilang dibawa arus. Rasa insaf serta-merta meresap ke dalam hati semasa berdiri di tengah kawasan tragedi. Bukan sedikit kerosakan yang menimpa chalet diusahakan sebuah keluarga ini. Selain daripada chalet yang telah musnah, kawasan sungai juga sudah hilang serinya dengan timbusan tanah dan sisa-sisa pokok yang datangnya daripada Gunung Jerai.
Kisah Pak Long
Kami sempat bertemu Pengasas Chalet Salak Denai yang lebih mesra dipanggil Pak Long. Dengan usia menghampiri 70-an, Pak Long menyimpan kemas kecewa di sebalik seloroh dan jenaka semasa melayani kehadiran kami. Chalet yang kini diuruskan salah seorang anaknya, Hidayah, dan menantu, Anas, sememangnya menjadi tumpuan penduduk Yan dan kawasan berhampiran untuk bercuti. Dalam mengimbau bagaimana dia mengubah sebidang tanah hutan kepada chalet dengan 6 rumah chalet lengkap dengan asrama pekerja, sorot mata tua Pak Long kekal tenang.
Semangat Luar Biasa Pak Long
“Chalet Pak Long ni dah tak ada apa dah. Tapi tak apa sebab dulu masa mula-mula buka pun memang tak ada apa. Pak Long boleh buat balik.”Semangat Pak Long memang luar biasa. Ada juga kami tanya tentang perasaannya kehilangan bapa mentua yang dibawa arus deras sewaktu kejadian itu sebelum dijumpai meninggal dunia beberapa hari kemudian. Dengan senyuman yang tak lekang daripada bibir, Pak Long akui rasa sedih memang ada. Namun, dia memilih untuk berlapang hati dengan ketentuan. Menceritakan detik-detik cemas yang berlaku saat kepala air melimpah dan membanjiri kawasan chalet, suara Pak Long sedikit sayu.
Semasa kejadian, Hidayah, Anas dan anak-anak mereka serta bapa mentua dan ibu mentua Pak Long, terperangkap di dalam rumah merangkap pejabat chalet. Dengan hentaman keras batu-batu besar pada dinding rumah, mereka semua bergelut dengan paras air yang tinggi. Semuanya berlaku dengan pantas. Walaupun Anas, dengan bantuan penduduk berhampiran yang baru tiba, menyabung nyawa mengharung arus deras untuk menyelamatkan semua ahli keluarga, ajal dan maut sememangnya telah ditentukan Tuhan.
Kehilangan Bapa Mertua
Bapa mertua Pak Long, sudah lanjut usia dan terbaring di atas tilam, tak dapat diselamatkan sebaik dinding rumah tersebut pecah dihentam batu dan kayu. Pak Long menghela nafas berat sebelum menyambung cerita. Walaupun dia kehilangan bapa mertua, dia memanjatkan rasa syukur kerana ahli keluarga lain yang terperangkap, termasuklah ibu mentuanya yang juga lanjut usia dan terhad pergerakan fizikal, berjaya diselamatkan.
SK Prihatin
Kami menyampaikan sedikit sumbangan daripada apa yang kami bawa dan menyatakan hasrat untuk membantu mereka dalam membangunkan semula Salak Denai. Satu “donation drive” akan dilancarkan dengan sasaran untuk mengumpulkan dana sebanyak RM15,000 sebagai pemula untuk membina kembali bangunan chalet yang rosak.Dengan ini, mereka dapat kembali mencari rezeki dalam sektor pelancongan selain dapat memastikan pekerja anak tempatan di chalet itu dapat terus bekerja.