Suami berat tulang, isteri membebel tak ingat dunia…Islam menggariskan adab suami dan isteri dalam rumahtangga kerana dalam realiti alam perkahwinan bukan semua indah-indah macam filem Disney. Hubungan suami isteri sangat bergantung pada komunikasi, sifat memahami, dan toleransi antara pasangan untuk kekal lama dalam hubungan yang sihat.
Mungkin sebelum kahwin seseorang individu itu akan rasa pasangannya adalah sempurna dan mampu buat dirinya bahagia selepas berkahwin. Tapi lepas hidup bersama baru dia sedar pasangannya ada banyak kekurangan, begitu juga dengan dirinya. Situasi seperti ini akan menguji kesabaran dan kemahiran interpersonal pasangan dalam membina keluarga yang harmoni.
Seperti salah sebuah video yang telah menarik perhatian pengguna media sosial baru-baru ini, seorang lelaki dilihat sedang menahan leteran isterinya di dalam kereta. Rakaman tersebut dimuatnaik dengan kapsyen “Takziahlah untuk telinga para suami. Yang belum berkahwin, adakah anda dah bersedia?” mengundang orang ramai untuk berkongsikan pandangan masing-masing.
HAHAHAHAHAHA. Takziahlah untuk telinga para suami. Yang belum berkahwin, adakah anda dah bersedia?
— Cikgu_Anep (@Cikgu_Anep) August 16, 2023
Tapikan, daripada cerita kawan-kawan saya yang dah berkahwin, suara membebel tulah yang akan dirindui bila berjauhan.
Dia macam dah jadi halwa telinga tau🤣
Oh ya, halwa telinga… pic.twitter.com/YRWjMfnIgu
Apa yang menariknya, suami di dalam video yang tular itu langsung tidak melakukan apa-apa walaupun jelas leteran isterinya membuat dia stres. Sifat toleransi yang ditunjukkan lelaki tersebut adalah salah satu contoh usaha untuk mengelak pergaduhan besar dengan pasangannya.
Namun ada juga yang mengungkit tentang sikap kebanyakan golongan isteri yang suka membebel sehingga membuat suami tertekan dan tidak suka duduk rumah.
Salahkah untuk isteri membebel pada suami bila mereka tidak puas hati dengan sesuatu perkara?
Jom kita lihat 5 hadis berkenaan adab isteri terhadap suami yang berkaitan dengan isu ini.
1. Tidak banyak berdebat (perang mulut/ membebel/ merungut)
Perbezaan pendapat antara suami isteri adalah perkara biasa dalam rumah tangga. Namun daripada berperang mulut untuk menegakkan hujah masing-masing, cara terbaik untuk menyelesaikan sudut pandangan yang berbeza berbincang dengan baik. Isteri perlu ada sifat toleransi untuk tidak ego dan sanggup mengalah untuk jaga hati suami. Begitu juga sebaliknya.
Daripada Abi Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الجَدَلَ
Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum itu tersesat setelah mereka berada di atas hidayah melainkan orang yang suka berdebat” —Riwayat al-Tirmizi (3176) dan Ibn Majah (47).
Di dalam satu hadis lain pula, dari Abu Umamah, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan kedustaan meskipun bergurau. Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.” —Riwayat Abu Daud.
2. Utamakan suami dalam keputusan walaupun kehendak tidak dituruti
Oleh kerana suami dianggap sebagai ketua keluarga, suami lebih perlu diberi keutamaan dalam membuat keputusan besar dalam rumahtangga berbanding isteri. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.Anha:
أَيُّ النَّاسِ أَعْظَمُ حَقًّا عَلَى الْمَرْأَةِ ؟ قَالَ: ” زَوْجُهَا “، قُلْتُ: فَأَيُّ النَّاسِ أَعْظَمُ حَقًّا عَلَى الرَّجُلِ؟ قَالَ:”أُمُّه
Maksudnya: “Siapakah manusia yang paling berhak atas seorang isteri?” Beliau bersabda, “Suaminya.” Aku bertanya lagi, “Lalu siapakah manusia yang paling berhak atas seorang lelaki?” Beliau bersabda, “Ibunya.” —Riwayat Sunan Al-Kubra (9099)
Walaupun kata putus terletak pada suami, isteri tetap boleh memberi pandangan dan buah fikiran tentang sesuatu perkara. Oleh itu, perlu ada perbincangan yang sihat tanpa membebel atau tengking menengking antara suami isteri untuk mendapatkan penyelesaian yang boleh memuaskan kedua-dua pihak.
3. Jangan banyak membebel dan tunjukkan sifat qanaah
Qanaah adalah menerima rezeki dari Allah dengan hati terbuka dan berasa cukup dengannya setelah ikhtiar sehabis baik. Sifat qanaah dapat membuat kita tidak terlalu berharap perkara yang diluar jangkauan atau kebolehan suami, sekali gus melahirkan sifat bersyukur tanpa mengungkit perkara yang pasangan kita dapat tidak dapat berikan.
Rasulullah SAW juga ada bersabda, “Jadilah seorang yang warak, nescaya kamu menjadi manusia paling baik dalam beribadat. Dan jadilah seorang yang memiliki sifat qanaah, nescaya kamu menjadi manusia paling bersyukur.” —Riwayat Ibnu Majah.
4. Tunjuk adab dengan hargai usaha suami
Mengucapkan berterima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada manusia juga adalah sikap yang dititikberatkan di dalam Islam. Terutamanya kepada suami yang bertanggungjawab sebagai pelindung dan pembimbing kepada isterinya. Jadi wajarlah untuk isteri menghargai usaha suami walaupun kadang kala suami tidak dapat memuaskan segala kehendaknya.
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:
لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ
Maksudnya: “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.” —Riwayat Abu Daud (4811) dan al-Tirmizi (1954).
5. Tunjuk adab dengan menunjukkan rasa kasih sayang
Sifat kasih sayang antara suami dan isteri adalah tulang belakan sesebuah institusi kekeluargaan. Tanpa rasa kasih sayang antara pasangan, pastinya tiada keharmonian dalam hubungan dan tiada persefahaman dalam membuat keputusan. Rasulullah SAW bersabda di dalam satu hadis yang bermaksud;
“Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya.” —Riwayat at-Tirmizi.
Oleh itu, sebagai seorang isteri antara adab yang harus diamalkan ialah menunjukkan kasih sayang kepada suami sama ada dengan mengucapkannya atau berbuat baik kepadanya.
Tabiat membebel segelintir wanita mungkin datang daripada sikap suami yang sukar untuk berubah atau memandang serius saranan yang diberikan. Mungkin juga ada sesetengah golongan isteri yang sudah lama bersabar dengan sikap suami yang kurang menyenangkan dan perlu meluahkan kekecewaannya. Apa pun puncanya, tidak dapat dinafikan tabiat membebel sudah menjadi sinonim dengan golongan isteri dan ibu-ibu. Bagi sesetengah orang, bebelan mereka itu juga adalah tanda kasih sayang, dan mungkin kita akan rindu bila tidak mendengar leteran mereka.