Setiap orang mengimpikan kehidupan yang bahagia bersama orang sekeliling. Setiap hari yang dilalui bersama harapan agar menjadi saat-saat yang manis dan indah untuk dikenang. Bagaimana mencari bahagia?

Menurut Plato, bahagia itu apabila kita menyeimbangkan antara nafsu, kehendak dan akal. Menurut Al- Farabi  pula, kebahagiaan adalah sesuatu yang dirindui oleh setiap orang kerana ia adalah kebaikan paling besar antara segala kebaikan yang ada. Hamka pula berpendapat kebahagiaan itu mempunyai sejumlah kaedah dan pengalaman seseorang. Siapa yang ada di sekeliling  kita?Orang yang paling dekat pastinya ahli keluarga. Kemudian barulah kawan-kawan atau kenalan. Dua entiti ini yang mencorakkan hidup kita dengan momen-momen tertentu. Kita sendiri sebagai penentu untuk memilih bagaimana momen itu berlaku.

Keluarga

Dalam hidup ini, ada perkara yang kita tidak boleh pilih iaitu asal usul kita. Watak-watak dalam keluarga kita sudah ditakdirkan di luar kawalan kita. Jadi, apa peranan kita dalam keluarga untuk mencipta momen indah bersama? Paling utama ialah kita perlu menerima mereka seadanya.

Bagaimana untuk luahkan perasaan itu?

Tanggungjawab moral kita terhadap keluarga adalah berbuat baik kepada mereka. Semampu daya kita perlu berusaha menunjukkan nilai-nilai kebaikan dengan penuh adil dan saksama.

Apa yang boleh kita lakukan?

Kita perlu menjadi pemurah dengan ahli keluarga, bukan sahaja dengan wang ringgit, tetapi dengan masa, pertolongan dan emosi yang boleh membahagiakan mereka. Susah, senang, suka, duka, ketawa dan gembira dikongsi bersama. Ahli keluarga perlu menjadi keutamaan dalam diri kita sebelum orang luar. Masa yang kita ada, luangkan sebaiknya dengan keluarga dan nukilkan detik-detik indah bersama. Ambil sebanyak mana pun gambar dan simpan untuk ditatap tatkala berjauhan. 

Seorang wanita, taatnya pada ibu bapa paling utama. Semasa dirinya masih di bawah jagaan ibu bapa, hargai setiap saat yang ada dengan sepenuh penghormatan. Selepas memiliki suami, ikhlaskan diri menjadi peneman suami sehingga hujung nyawa. Sampai masa perlu mencurah bakti kepada pengurusan rumahtangga dan melihat suami dan anak-anak gembira setiap hari.

Seorang lelaki pula, taatnya kekal kepada ibu bapa sebelum dan selepas berkahwin. Cuma, tanggungjawabnya bertambah kerana memiliki isteri di sisi yang perlu dijaga sepenuh hati. Kehadiran seorang wanita dalam hidup,  lelaki perlu menjadi pemimpin terbaik agar hari-hari yang dilalui bersama selalu indah untuk diingati pada hari-hari tua.

Kawan-kawan

Memilih kawan-kawan adalah hak setiap manusia. Mereka sebagai pelengkap hidup ketika kita berjauhan dengan ahli keluarga. Memiliki kawan-kawan yang baik adalah impian setiap orang.

Kita menangis, kawan lap air mata. 

Kita gembira, kawan turut tersenyum bahagia.

Kita susah, kawan menghulur tangan membantu.

Kita resah, kawan sudi mendengar masalah.

Inilah yang dinamakan persahabatan. Kekurangannya dihormati. Kelebihannya dihargai. 

Menurut Ayam Fared dalam puisinya bertajuk Falsafah Rindu;

Rindu itu satu hukuman,

Buat orang yang tidak kenal erti penghargaan.

Sulit ku katakan,

Makna sebenar rindu adalah kehilangan.

Rindu itu satu hukuman,

Buat orang yang tidak tahu buat keputusan.

Mencipta momen indah bersama orang tersayang di sekeliling kita tak akan sia-sia. Jangan pernah jemu melayani mereka dengan kasih sayang dan empati. Kelak, apabila Tuhan memisahkan kita dengan dua dunia berbeza, pasti rindu menebal. Saat itu, hanya kebaikannya boleh diingati sebagai tanda penghargaan. Penghargaan yang sudah terlewat.Selagi masih bernyawa, hargai setiap insan di sekeliling.Momen indah bersama, bukti ukhuwah pernah terjalin.