Mulia Seorang Bapa

Kedudukan seorang ayah sebagai

Qawwam menjadikannya pemimpin dalam keluarga dan memikul amanah yang sangat besar.

Penulis

Shahila Ahmad

siti.shahila@sitikhadijah

Walaupun ayah mungkin tidak banyak berkata-kata, peranannya amat penting dalam membimbing serta menjaga kesejahteraan isteri dan anak-anak. Tanggungjawab ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut kesungguhan untuk sentiasa memperbaiki diri dan memimpin keluarga ke arah jalan yang diredai Allah SWT.

“Suami dan ayah yang baik akan sentiasa berusaha berubah mengikut panduan agama demi keluarganya. Dengan itu, dia mampu memimpin keluarga menuju kehidupan yang lebih diredai dan diberkati Allah SWT,” demikian perkongsian Ustaz Izzat Fathi bin Hisham atau lebih dikenali sebagai PU Izzat dalam sesi tazkirah yang berlangsung di Surau Laman Khadijah.

Dalam kesibukan mencari rezeki, seorang ayah juga tidak dapat lari daripada cabaran membahagikan masa antara pekerjaan dan keluarga. Tuntutan kerja kadangkala menyebabkan masa bersama anak-anak menjadi terhad, ini memberi kesan kepada hubungan yang dibina.

Manfaatkan setiap detik

Hubungan yang erat bukan semata-mata bergantung pada jumlah masa yang diluangkan, sebaliknya bagaimana masa itu dimanfaatkan. Apabila bersama anak, berikan perhatian sepenuhnya. Jadikan setiap detik yang singkat itu sebagai momen yang bermakna, kerana itulah saat yang akan kekal dalam ingatan mereka.

“Jadilah ayah yang baik dengan menyeimbangkan urusan dunia dan akhirat. Bukan banyaknya masa bersama anak yang menjadi ukuran, tetapi kualiti masa yang diluangkan. Walaupun hanya seketika, jika dimanfaatkan dengan sebaiknya, ia mampu meninggalkan kesan yang besar kerana anak akan merasai kasih sayang dan kehadiran seorang ayah dalam hidup mereka,” ujar PU Izzat.

Sebagai ibu bapa, jangan sesekali menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab mendidik anak. Luangkan masa setiap hari untuk bertanya khabar, memantau perkembangan anak dan memastikan mereka menjaga solat. Amanah ini bukan sekadar tanggungjawab, malah menjadi bekalan yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

“Ibu bapa adalah cerminan kepada anak-anak. Bak kata pepatah, ‘Bapa borek, anak rintik.’ Apa yang dilakukan oleh seorang ayah akan menjadi contoh ikutan anak-anak. Justeru, ayah perlu mewujudkan suasana yang baik di rumah sekiranya ingin melihat anak membesar dengan nilai-nilai yang baik.”

“Jika ingin anak mencintai ilmu dan gemar membaca, mulakan dengan memenuhi rumah, khususnya almari, dengan bahan bacaan yang bermanfaat. Apabila anak membesar dalam persekitaran yang menghargai ilmu, mereka lebih mudah terdorong untuk menjadikan membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan,” katanya.

Rasulullah contoh teladan

Setiap pengorbanan seorang ayah akan menjadi lebih bermakna apabila dilakukan semata-mata kerana mengharapkan reda Allah SWT. Jadikan setiap usaha dalam membimbing, mendidik dan membesarkan keluarga sebagai satu ibadah yang mendekatkan diri kepada-Nya.

“Jadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah dan teladan terbaik dalam memimpin keluarga dengan kasih sayang, hikmah dan akhlak yang mulia. Semoga setiap amanah yang dipikul menjadi asbab untuk memperoleh reda serta tempat yang istimewa di sisi Allah SWT,” ujarnya.

Sebelum kita dihisab di akhirat kelak, muhasabahlah diri setiap hari. Perbaiki apa yang kurang, syukuri setiap nikmat dan terus berusaha menjadi ayah yang lebih baik daripada semalam. Kerana menjadi ayah yang terbaik bukan mengenai menjadi sempurna, tetapi tentang sentiasa berusaha menjadi hamba Allah dan pemimpin keluarga yang lebih baik setiap hari.

Sebahagian perkongsian daripada Kuliah Jumaat di Surau Laman Khadijah bersama PU Izzat mengenai mulianya peranan dan pengorbanan seorang ayah.