Shahila Ahmad

Teman x NIMROC Menghargai Hero Keluarga

Ayah merupakan hero pertama dalam kehidupan setiap anak. Walaupun kasih sayangnya jarang diungkapkan dengan kata-kata, setiap pengorbanan, kerja keras dan usaha yang dilakukan menjadi bukti cinta yang tidak ternilai buat keluarga tercinta.

Penulis

Shahila Ahmad

siti.shahila@sitikhadijah

Istimewa sempena sambutan Hari Bapa, Siti Khadijah tampil meraikan figura istimewa ini dengan membawakan sesuatu yang bermakna khas buat FamilySK yang bergelar ayah. Menerusi kolaborasi bersama NIMROC, sebuah peraduan eksklusif Hensemkan Ayah Bersama Teman telah dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada insan yang sentiasa menjadi tulang belakang keluarga ini .

Menerusi peraduan ini, seramai lima orang bapa bertuah telah dipilih untuk menikmati pengalaman makeover eksklusif bersama pasukan profesional daripada NIMROC. Sesi istimewa yang berlangsung pada 10 Jun lalu ini memberi peluang kepada para pemenang untuk tampil dengan imej baharu yang lebih segar dan bergaya.

Lebih istimewa, kelima-lima peserta turut berpeluang memperagakan busana daripada Koleksi Teman, koleksi eksklusif lelaki daripada Siti Khadijah yang direka khas untuk lelaki moden yang mengutamakan keselesaan, gaya dan keyakinan dalam setiap penampilan.

Sepanjang sesi berlangsung, jelas terpancar rasa teruja dan kegembiraan pada wajah setiap peserta. Momen ini bukan sekadar tentang perubahan penampilan, tetapi menjadi simbol penghargaan terhadap setiap pengorbanan seorang ayah yang sering meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

Melalui inisiatif ini, Siti Khadijah berharap sambutan Hari Bapa kali ini dapat menjadi peringatan bahawa setiap ayah juga wajar diraikan, dihargai dan diberikan ruang untuk menikmati detik istimewa buat diri mereka sendiri.

Mengimbau kenangan bersama ayah tersayang

Turut berkongsi keterujaan mengenai kolaborasi istimewa ini ialah Ardy Damis, Founder & CEO NIMROC, yang menyifatkan inisiatif tersebut sebagai sebuah pengalaman yang cukup dekat di hati dan penuh makna buat dirinya.

Menurut beliau, kolaborasi bersama Siti Khadijah sempena Hari Bapa ini secara tidak langsung mengimbau kembali kenangan zaman kecilnya bersama ayah tersayang.

“Kalau dulu, ayah yang sentiasa membawa kita ke kedai gunting rambut, menjaga keperluan dan memastikan kita sentiasa tampil kemas. Hari ini, keadaan itu berubah apabila anak pula berpeluang melakukan perkara yang sama untuk ayah. Bagi saya, ia adalah satu saat yang sangat bermakna dan cukup dekat dengan hati,” ujarnya.

Inisiatif seperti ini bukan sekadar tentang penampilan atau perubahan luaran semata-mata, tetapi lebih kepada mencipta ruang untuk menghargai sosok seorang ayah yang sering meletakkan keluarga sebagai keutamaan dalam setiap perkara yang dilakukan.

Tidak dinafikan, membesarkan anak bukannya satu tugas yang mudah. Kadang-kadang ayah akan berasa lelah dengan amanah dan tanggungjawab yang digalas. Namun, inilah perjalanan indah yang kita perlu hadapi bagi memastikan anak membesar dengan sempurna.

“Ada ketikanya kita akan rasa hilang arah dan berat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Tetapi apabila kita tengok balik pengorbanan ayah kita dahulu sewaktu membesarkan kita, penat lelahnya itu menjadi penguat semangat untuk kita buat yang terbaik sepertinya.”

“Selamat Hari Bapa kepada semua lelaki yang bergelar ayah. Tak mengapa kalau adakalanya kita rasa susah dan tertekan, dalam membesarkan anak. Perlu diingat, apa yang kita lakukan hari ini akan memberi kesan kepada masa depan anak kita kelak. Inilah perjalanan dan proses yang perlu kita lalui dalam membentuk satu kehidupan yang sempurna dan kita sebahagian daripada kehidupan itu."