Mushaf al-Quran - Kalam Unggul Dari Ilahi

Mushaf al-Quran - Kalam Unggul Dari Ilahi

 

Perkataan mushaf merujuk kepada himpunan lembaran yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran yang disusun secara lengkap. Sejarah penulisan mushaf bermula sejak zaman Rasulullah SAW, apabila wahyu diturunkan secara berperingkat dan ditulis pada pelbagai medium seperti pelepah tamar, tulang dan kulit. 

“Selepas kewafatan Baginda, usaha pengumpulan hafazan al- Quran dan penyusunan mushaf secara sistematik dilakukan pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA selepas terkorbannya ramai penghafal al-Quran akibat daripada perang yamamah. Ini dilakukan bagi memastikan bacaan ayat suci ini dapat diwarisi generasi seterusnya,” ujar Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (ATMA) UKM, Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria. 

Ts. Dr. Ros Mahwati Ahmad Zakaria, Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu (ATMA) UKM

Terengganu merupakan antara negeri terawal menerima kedatangan Islam di Tanah Melayu, seawal abad ke-13 Masihi. Perkembangan Islam yang pesat ini didukung oleh institusi kesultanan, para ulama serta pusat-pusat pengajian agama yang aktif melahirkan penulis dan penyalin manuskrip Al-Quran. Dalam konteks inilah penulisan mushaf Al-Quran mula berkembang secara serius di Terengganu.

Mushaf Terengganu ditulis tangan oleh para penyalin Al-Quran (khatat) tempatan yang mahir dalam ilmu tajwid, rasm Uthmani dan seni khat. Proses penulisan dilakukan dengan penuh disiplin dan adab, mengambil masa berbulan malah bertahun, bagi memastikan setiap huruf ditulis dengan tepat dan sempurna.

“Mushaf Terengganu mempunyai satu keistimewaan berbanding mushaf lain dari segi ragam hias yang terdapat pada lembaran permukaan, tengah dan penutup. Setiap helaian mempunyai motif ukiran tempatan yang halus dan paling cantik pernah dihasilkan,” ujarnya sewaktu ditemui di Muzium Negeri Terengganu di mana tersimpannya salinan asal Mushaf Terengganu. 

Mushaf Terengganu merupakan satu naskhah al-Quran yang direka dan ditulis dengan penuh teliti yang mencerminkan keindahan warisan budaya Islam di Terengganu pada abad ke 18 dan 19. Ia adalah khazanah seni Islam Melayu yang paling bernilai melambangkan kehalusan ilmu, adab dan ketelitian dalam penulisan Al-Quran. Ini menjadikan setiap helaian bukan sekadar naskhah bacaan, tetapi satu karya seni yang sarat dengan makna spiritual.

“Salinan al-Quran ditulis dengan tangan dan menggunakan khat nasah yang cukup indah. Iluminasi yang menghiasi mushaf alam Melayu termasuk Terengganu menggunakan motif ukiran tebar layar, sulur bayur dan bunga kacang. Pemilihan warnanya juga cukup istimewa kerana banyak menggunakan warna hitam, merah dan pigmen emas,” tambahnya lagi. 

Kekal terpelihara untuk generasi akan datang 

Mushaf Terengganu ini bukan sekadar kitab suci, tetapi ia adalah khazanah sejarah yang dihiasi keindahan seni reka yang cukup unik. Dengan tulisan khat yang halus dan corak hiasan yang memukau, setiap helaian memaparkan warisan Melayu Islam yang tak ternilai. Sama seperti bahan bersejarah lain, Mushaf juga memerlukan penjagaan khas supaya keindahannya tidak pudar ditelan masa.

“Sewaktu kami terima Mushaf ini daripada jabatan pendaftaran, ia berada dalam keadaan yang uzur dan ada banyak kerosakan. Kondisi mushaf akan diteliti dan direkod bermula daripada muka hadapan, setiap helaian hingga muka belakang. Kemudian, barulah kami akan mulakan proses pembersihan,” ujar Penolong Pengarah Kanan Sektor Konservasi, Alisa binti Abdul Wahab. 

Alisa binti Abdul Wahab, Penolong Pengarah Kanan Sektor Konservasi, Muzium Terengganu

Tambahnya lagi, sewaktu proses restorasi, setiap helaian diperiksa untuk mengesan koyakan, tulisan yang pudar atau kerosakan akibat masa dan cuaca. Maklumat ini penting untuk menentukan cara terbaik bagi memulihkan mushaf tanpa merosakkan identiti asalnya.

Antara kerosakan yang terdapat pada Mushaf

Sewaktu proses pembersihan, peralatan khusus digunakan bagi memastikan setiap helaian terjaga rapi. Mushaf dibersihkan secara lembut dan berhati-hati daripada debu, kotoran serta kesan kulat menggunakan teknik khas supaya helaian tetap utuh. Ini memastikan mushaf stabil dan siap untuk proses pembaikan seterusnya.

Proses baik pulih yang teliti dan berhati-hati

Setiap helaian yang koyak atau rapuh diperbaiki menggunakan bahan yang sepadan dengan asalnya. Kertas atau kulit yang digunakan untuk tampalan yang dipilih mempunyai tekstur yang serupa dengan mushaf lama. Hasilnya, Mushaf kembali lengkap namun masih menjaga nilai sejarah dan seni asal.

Tidak dinafikan, terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi sepanjang proses ini dilakukan. Cabaran paling utama adalah kondisinya yang sangat uzur dan rapuh kerana usianya sudah mencecah ratusan tahun.

“Sepanjang proses restorasi ini dilakukan, kami bekerja dengan penuh berhati-hati. Berurusan dengan artifak yang fragile perlukan kesabaran yang tinggi dan tidak boleh tergopoh-gapah. Pemilihan bahan yang terbaik dan teknik cara kerja yang sesuai juga diberikan keutamaan bagi memastikan keadaan fizikal mushaf tidak terjejas sewaktu proses pembersihan dilakukan,” ujarnya sewaktu ditemui di Muzium Negeri Terengganu. 

Penelitian setiap muka surat

Sudah menjadi tanggungjawab muzium untuk memelihara dan memulihara artifak tinggalan sejarah ini. Ia bertujuan untuk memanjangkan hayat Mushaf kerana nilainya yang tinggi serta untuk tujuan pendidikan. 

“Selepas proses restorasi ini selesai, Mushaf ini akan dipamerkan untuk tatapan umum. Ketika pemeran inilah, maklumat mengenai Mushaf ini disalurkan kepada orang ramai. Secara tidak langsung orang ramai dapat melihat sendiri reka corak Mushaf serta mendidik orang ramai mengenai sejarah kalam agung ini.” ujarnya mengakhiri perbualan. 

Mushaf Terengganu bukan sahaja kekal utuh sebagai kitab suci, malah terus hidup sebagai warisan seni dan budaya yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. Usaha restorasi dan preservasi ini memastikan keindahan dan nilai sejarahnya kekal terpelihara serta menjadi kebanggaan semua umat Islam.