Al-Quran Hadiah Terindah di Bulan Ramadan

Bulan Ramadan adalah bulan al-Quran. Pada bulan ini al-Quran diturunkan dan inilah masanya umat Islam dapat merasai kenikmatan membaca kalam suci ini.

Penulis

Shahila Ahmad

siti.shahila@sitikhadijah

Allah SWT berfirman:

“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Nikmat yang tidak ternilai

“Hadiah sebenar yang dikurniakan Allah kepada umatnya pada bulan Ramadan adalah al-Quran. Nuzul al-Quran adalah detik di mana Allah menurunkan al-Quran di Baitul Izzah sebelum Malaikat Jibrail diperintahkan untuk menyampaikannya kepada Rasulullah secara berperingkat selama 23 tahun,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), IRIS Institute, Ustaz Syed Ahmad Israa’ Bin Syed Ibrahim.

Membaca al-Quran pada bulan Ramadan lebih bermakna jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain. Ia menawarkan kenikmatan rohani yang luar biasa,

berlipat ganda pahala (10 kali ganda setiap huruf) dan merupakan waktu terbaik untuk meraih ketenangan jiwa, diampunkan dosa serta syafaat di akhirat.

“Sesiapa yang membaca al-Quran pada bulan mulia ini, tidak akan sama dengan bacaannya pada bulan-bulan yang lain. Rugilah sesiapa sahaja yang tidak membaca al-Quran pada bulan ini. Dia kehilangan kenikmatan yang tidak akan dia rasai pada bulan lain,” ujarnya.

“Sesungguhnya orang yang di dalam hatinya tidak ada sedikitpun ayat Al-Qur'an (yang dihafal), maka ia seperti rumah yang roboh (atau rosak)." HR. Tirmidzi & Al-Hakim.

Berikut adalah kelebihan dan kenikmatan membaca Al-Quran pada bulan Ramadan:

  • Pahala berganda: Setiap huruf yang dibaca mendapat ganjaran pahala

  • Ketenangan hati dan jiwa: Membaca dan mendengar bacaan Al-Quran memberikan ketenangan, kedamaian dan keberkatan hidup.

  • Syafaat di akhirat: Al-Quran akan memberi syafaat kepada pembacanya di hari kiamat kelak.

  • Ramadan adalah "bulan Al-Quran", yang menjadikan interaksi dengan kitab suci ini lebih istimewa.

  • Tadarus dan tadabbur: Membaca bersama (tadarus) menguatkan persaudaraan, manakala memahami makna (tadabbur) meningkatkan kekhusyukan.

  • Membentuk istiqamah: Melazimkan diri membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadan membantu melatih diri untuk terus beramal selepas Ramadan.

“Nikmat paling besar dirasai apabila membaca al-Quran adalah penawar segala penyakit. Al-Quran adalah syifa’ iaitu penawar pelbagai jenis penyakit tidak kira penyakit hati, jiwa atau fizikal. Pada zaman moden ini dapat dilihat ramai yang sakit sebab jauh dari al-Quran. Manusia terlalu sibuk mengejar dunia hingga tiada masa membaca al-Quran,” ujarnya.

5 tips untuk merasai kenikmatan membaca al-Quran

  1. Bersihkan hati - Banyakkan berdoa mohon keampunan dari Allah

  2. Bacalah al-Quran berulang kali

  3. Cuba memahami makna al-Quran

  4. Pelbagaikan cara membaca al-Quran - baca beramai-ramai atau pelbagaikan waktu, suasana atau cara membaca.

  5. Dengar alunan bacaan al-Quran