Semua orang tahu apa itu telekung.

Sejenis kain berbidang besar yang digunakan oleh golongan Hawa untuk bersolat. Sinonim dengan warna putih dan biasanya datang dalam dua bahagian: telekung (disarung pada muka dan panjangnya melitupi separuh atas badan) dan kain telekung (dipakai untuk melitupi kaki sepenuhnya).Uniknya, telekung mempunyai pelbagai variasi nama lain mengikut tempat. Di Malaysia sendiri, wujudnya nama lain untuk telekung iaitu “mengkane” atau “mahne” dalam dialek Pahang. Di Indonesia pula, nama “mukena” atau “rukuh” lebih sinonim sebagai rujukan kepada telekung. Ada juga nama yang paling mirip bunyinya iaitu “telkoN”, digunakan oleh komuniti penutur dialek Melayu Sanggau di Kalimantan Barat, Indonesia. Apa jua nama yang diberi, telekung mengekalkan konsep, rupa dan tujuan yang sama. Namun, tahukah anda tentang asal-usul kewujudan telekung?

Solat Cuma Sah Kalau Pakai Telekung?

Sebenarnya, tidak ada satu pun ketetapan pakaian rasmi untuk beribadat. Yang ada, panduan dalam memilih pakaian yang sesuai. Seperti yang difirmankan Allah:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُواْ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وكُلُواْ وَاشْرَبُواْ وَلاَ تُسْرِفُواْ إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah setiap kali (memasuki) ke masjid (atau mengerjakan solat), dan makanlah dan minumlah, dan jangan pula melampaui batas; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A'raf, ayat 31)

Sebelum turunnya ayat ini, masyarakat Arab jahiliyyah ketika itu melakukan tawaf mengelilingi Kaabah dalam keadaan bertelanjang. Oleh sebab itu, ayat ini turun sebagai perintah tentang kewajiban menutup aurat ketika beribadat. Kemudiannya, beberapa hadis yang lain memberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang hal ini.

Contohnya, hadis yang pernah disebut oleh Saidatina Aisyah R.A.

لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّى الْفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِى مُرُوطِهِنَّ ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ

“Rasulullah SAW bersolat Subuh dan beberapa orang wanita yang berpakaian menutup seluruh tubuh juga bersolat bersama-sama Baginda. Selepas itu, mereka balik ke rumah masing-masing tanpa dikenali oleh sesiapa pun.” (Riwayat al-Bukhari 365)

Frasa “menutupi seluruh tubuh” dan “tanpa dikenali sesiapa” memberi gambaran bagaimana wanita Muslim di zaman itu berpakaian ketika bersolat. Faktor-faktor yang perlu diberi perhatian termasuklah mengenakan pakaian yang labuh, bersih, longgar, tidak nipis sehingga menampakkan bentuk badan serta tidak mempunyai unsur-unsur syubhah seperti boleh menimbulkan riak.

Atas sebab ini, selagi mana aurat seseorang individu itu ditutup dengan sempurna, itu sudah mencukupi sebagai syarat sah solat. Kalau pakaian yang sedia ada memenuhi elemen-elemen ini, tidaklah menjadi masalah untuk terus menunaikan solat walaupun tanpa mengenakan telekung.


Kalau begitu, kenapa telekung boleh wujud?

Telekung dan Nusantara

Kalau dilihat dengan lebih dekat, pemakaian telekung merupakan hasil integrasi ajaran Islam dengan nilai tempatan. Buktinya, telekung tidak wujud di Timur Tengah atau bahagian dunia yang lain. Ini kerana bentuk pakaian berbeza mengikut tempat.

Kalau di Timur Tengah misalnya, wanita mengenakan pakaian yang mirip kepada telekung untuk kegunaan harian seperti Abaya dan jubah. Tidak ada keperluan bagi mereka untuk menukar pakaian tersebut jika mahu bersolat. Lain halnya pula dengan rumpun Nusantara. Pakaian tersebut sangat janggal untuk dikenakan.

Mengikut norma tempatan, telekung merupakan alternatif terbaik bagi memastikan aurat ditutup dengan sempurna ketika bersolat. Asal-usul penggunaan telekung belum lagi dapat dikenal pasti. Namun, berdasarkan cerita yang disampaikan turun-temurun, telekung sudah lama digunakan sejak abad ke 18 lagi. Warna putih menjadi sinonim sebagai telekung memandangkan warna itu merupakan warna kegemaran Rasulullah. Telekung ketika itu juga menggunakan material yang murah dengan jahitan yang biasa. Ini berpunca daripada status sosioekonomi masyarakat Melayu yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan tinggal di kampung-kampung.

Telekung Era Millennium

Pun begitu, evolusi telekung tidak berlaku sepertimana tudung. Memandangkan fungsi telekung lebih dekat dengan aspek kerohanian, telekung tidak boleh diubah sewenang-wenangnya. Atas sebab itu, telekung di Malaysia masih lagi mengekalkan bentuk dan rupa yang sama. Kalaupun ada perbezaan, biasanya telekung itu dibawa masuk dari negara jiran.
 
Namun, pada tahun 2009, Siti Khadijah memecahkan status quo ini dengan memperkenalkan telekung inovasi pertama di Malaysia. Telekung dengan material dan jahitan yang jauh lebih baik ini terus menjadi sebutan ramai sehingga sekarang. Walaupun datang dalam pelbagai rekaan, telekung Siti Khadijah tetap memastikan yang semua keluarannya patuh Syariah. Tambahan lagi, telekung yang nyata lebih selesa semestinya menjadikan proses beribadat dapat dilakukan dengan lebih sempurna.

Siti Khadijah – Lambang Cinta Abadi.