Wow! Siti Khadijah ada banyak hadiah sesuai untuk Ibu !

Hari Ibu adalah peluang untuk kita menunjukkan kasih sayang dan penghargaan kepada wanita terhebat yang telah membesarkan kita. Ini adalah masanya untuk merenung semula pengorbanan mereka dan menyatakan tanda terima kasih ke atas segala pengorbanan mereka. Mungkin ada di antara kita yang rasa janggal untuk menunjukkan emosi kepada ibu tersayang. Tapi, ucapan penghargaan bukan hanya dapat diluah dalam bentuk percakapan. Kasih sayang juga boleh ditunjukkan dalam perbuatan. 

Di sini SK kongsikan beberapa idea untuk mereka yang ingin mencari hadiah untuk Hari Ibu yang disambut setiap 14 Mei.

Telekung

Telekung boleh dianggap sebagai hadiah paling bermakna untuk seorang ibu. Pemberian telekung bukan sahaja bermanfaat dari segi rohani kerana dipakai untuk mendekatkan diri kepada Allah, tetapi juga satu pemberian yang akan mengingatkan seorang ibu itu kepada penghargaan anak-anaknya setiap kali mereka gunakannya untuk beribadah. Jadi, untuk berikan telekung sebagai hadiah hari ibu, pilihlah telekung berkualiti supaya dapat dipakai lama. Lebih elok jika fabriknya ringan dan lembut supaya mak kita dapat rasakan ketenangan dan keselesaan ketika solat. 

Pakaian 

Selain telekung, kita juga boleh pertimbangkan pakaian yang selesa, tahan lasak, dan mesra solat untuk dijadikan sebagai hadiah hari ibu. Set baju atasan berserta seluar atau jubah yang longgar adalah pilihan paling sesuai kerana boleh digayakan ke mana sahaja dan tidak menyekat pergerakan solat. Pilih pakaian yang diperbuat daripada fabrik yang ringan dengan aliran udara yang baik kerana rutin harian kaum ibu ini penuh dengan aktiviti. Pakaian yang dipilih oleh anak-anak juga akan memberikan mak kita lebih keyakinan untuk bergaya, bila adanya sentuhan kontemporari dan citarasa moden yang mereka mungkin tidak berani untuk cuba sebelum ini.

Beg tangan

Beg tangan yang praktikal, tahan lama, dan bergaya adalah satu lagi pilihan hadiah yang hebat dan tidak akan pernah salah alamat. Mak-mak biasanya sukakan beg yang boleh dibawa di bahu, jadi pilih beg jenis tote yang cukup luas untuk memuatkan keperluan hariannya seperti dompet, telefon, kunci, dan al-quran mini. Beg yang sempurna juga ada banyak kompartmen dengan poket khas untuk simpan barang-barang kecil.  Beg tangan dengan fungsi yang banyak dan ringkas tapi bergaya tentunya akan membuatkan ibu anda senang hati.

Al-Quran

Bagi kaum ibu yang gemar membaca Al-Quran selepas solat, senaskah kitab suci yang lengkap dengan terjemahan dan panduan membaca adalah hadiah yang bermanfaat. Al Quran sebagai hadiah dapat membawa ratu hati kita lebih dekat dengan Maha Esa. Barang-barang mewah mungkin dapat memberikan kita nikmat duniawi, tetapi Al-Quran akan membimbing insan tercinta kita kepada kesenangan di akhirat.

Al-Quran adalah ungkapan cinta yang sempurna. Bayangkan, kita memberikan kata-kata Allah kepada orang yang kita ingin jumpa di syurga. Menghadiahkan Al-Quran kepada ibu menunjukkan pentingnya kehadiran mereka dalam hidup kita dan hanya Allah yang dapat membalas jasa mereka.

Tudung atau Hijab

Kalau dah namanya wanita, tudung dan selendang di rumah memang tak akan pernah cukup walaupun dah penuh satu almari. Jadi memberikan tudung sebagai hadiah sudah pastinya dapat menggembirakan hati sang ibu. Bagi kaum ibu yang sudah berumur, mereka lebih gemar tudung sarung yang ‘plain’ dan labuh. Mak-mak yang berjiwa muda bolehlah dihadiahkan tudung bawal atau shawl mengikut corak yang melambangkan personaliti mereka. Tidak kiralah kita belikan tudung untuk mereka pakai ke tempat-tempat istimewa atau hanya untuk kegunaan harian, apa yang penting, tudung yang dihadiahkan memberi keselesaan dan membantu mereka menutup aurat dengan sempurna mengikut tuntutan syariah.

Sejadah

Tiada hadiah yang lebih bermakna daripada pengalaman beribadah yang tenang dan selesa. Selain telekung yang ringan dan sejuk, sejadah juga memainkan peranan penting dalam memastikan kita khusyuk dalam solat. Sejadah yang tebal dan lembut adalah penting untuk memelihara bahagian-bahagian sensitif seperti tumit, lutut, dan dahi. Sebab itulah, sejadah juga dianggap sebagai hadiah yang berharga, terutamanya bagi orang yang sudah berumur seperti ibu kita. Berikan mereka kemudahan untuk sujud lama-lama, kerana dalam sujud mereka, pastinya tersemat doa untuk anak-anak.

Kesimpulannya, Hari Ibu adalah satu peluang untuk menunjukkan kepada ibu yang melahirkan kita betapa kita menyayangi dan menghargai mereka. Apa sahaja hadiah yang kita hulurkan kepada mereka, mereka pasti akan rasa sejuk hati kerana kita ambil perhatian dan peduli dengan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Tunjukkan kasih sayang dan rasa hormat anda kepada wanita yang menakjubkan dalam hidup anda pada Hari Ibu ini, dan raikan kuasa keibuan dengan hadiah-hadiah yang mengukuhkan iman.