Oleh kerana setahun ada 365 hari, tempoh tersebut sudah lebih daripada mencukupi untuk menyempurnakan senarai tekad dan azam tersebut. Jika dirancang betul-betul, 10 azam tahun baru pun kita boleh capai sebenarnya!

Bagaimanapun bukan semua orang mampu menyempurnakan hasrat tersebut. Kalau ada satu yang tertunai daripada puluhan azam yang disenaraikan pada awal tahun sudah dikira cemerlang. Ada yang hanya mampu bertahan sebulan sahaja, selepas tu azam entah ke mana atau ‘ke laut’ bahasa orang sekarang! Bagi yang lebih cekal dan dapat bertahan beberapa bulan atau sehingga setengah tahun pun sudah dikira baik.

Percaya atau tidak, azam tahun baharu ini ba­nyak cabarannya. 🙂

Cabaran sebenar ialah bila mahu memulakan azam itu. Dengan mengambil semangat tahun baharu, semua azam sepatutnya bermula 1 Januari. Bukan 1 Februari, 1 Mac atau 1 April atau pertengahan tahun yang sudah dikira bukan azam tahun baharu lagi. Kebanyakan yang berazam tidak tahu bila mahu memulakan resolusi tahun baharu ini.

Jika terlalu lama tertangguh, nampaknya azam hanya tinggal azam saja lah……Kepada yang benar-benar mahu membuat resolusi tahun baharu, Ada beberapa tips & petua diberikan oleh pakar-pakar motivasi kepada anda yang ingin membuat resolusi tahun baru.

Antaranya ialah:

  1. Jangan terlalu banyak menyenaraikan azam tahun baharu. Bukan apa takut tak terkejar, tak tertunai dan berciciran di tengah jalan. Cukuplah satu atau dua yang mudah dan dekat dengan diri terutama yang melibatkan sikap dan perlakuan diri sendiri.
  2. Berazamlah untuk mengubah diri dan menjadi kakitangan yang lebih jujur dalam bekerja. Sementelah bekerja itu satu ibadah, berazamlah untuk menyempurnakan ibadah itu dengan baik. Sekurang-kurangnya upah yang diperoleh setiap bulan lebih manis nikmatnya.
  3. Jangan bermalas-malas untuk memulakan azam. Malas adalah faktor utama yang bakal mengebumikan azam sebelum bermula. Mulakan dengan rentak yang perlahan terlebih dahulu, sedikit demi sedikit tetapi sentiasa konsisten sehingga hujung tahun.

Jangan hangat-hangat tahi ayam. Pada masa yang sama perlu ada kesungguhan untuk menyelesaikan sehingga ke garisan penamat.

Keazaman perlu lahir daripada dalam diri sendiri dan bukan kerana ikutan. Jangan sekadar berazam kerana mengikut trend. Apa yang paling penting ialah ketahanan diri untuk menyelesaikan azam tersebut. Jangan mudah berputus asa hanya kerana ada cabaran atau kekangan kecil pada pertengahan jalan. Jika tidak ada orang lain mahu menyokong dan menjadi pendorong, jadikan diri sendiri sebagai pendorong.

Jadi, bersediakah kita tahun baru, bersert azam yang baru? Cuba toleh seketika ke belakang dan bertanya bagaimana dengan azam tahun 2018, sudah tertunaikah? 🙂

 

Selamat Tahun Baru 2019 daripada #TeamSK kepada semua #FamilySK ! 🙂